arena

United lonjak ke tangga ketujuh liga

Oleh Reuters

MANCHESTER United kembali melonjak di kelompok pertengahan carta Liga Perdana malam ini, selepas gol oleh Andreas Pereira dan Marcus Rashford serta jaringan sendiri Davy Propper membolehkan pasukan itu mencatat kemenangan 3-1 di gelanggang sendiri ke atas Brighton and Hove Albion.

United melonjak di tangga ketujuh liga memungut 16 mata daripada 12 perlawanan untuk meneruskan aksi tanpa kalah di gelanggang sendiri. Brighton tergelincir di tangga ke 11 dengan 15 mata.

Pereira menjaringkan gol pembukaan United pada minit ke 17 dalam keadaan kelam kabut, ketika dia berada di dalam kawasan penalti untuk merembat bola ke gawang gol sebelum terkena Dale Stephens dan membuatkan penjaga gol Brighton, Matthew Ryan hanya mampu melihat bola masuk ke gawang gol.

Propper kemudiannya menolak masuk bola ke gawang gol sendiri dua minit kemudian ketika sepakan lencong daripada sepakan percuma daripada Fred mencemaskan kawasan depan gawang gol Brighton. Gol berkenaan dibenarkan selepas pemeriksaan menerusi VAR.

Lewis Dunk memberikan sedikit harapan buat Brighton pada minit ke 64 dengan tandukan dari jarak dekat tetapi Rashford memastikan kemenangan United dengan kelebihan dua gol dua minit kemudian apabila dia merembat gol pada jarak 12 meter yang terkenal palang dan memasuki jaring gol.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 12:27am
d