arena

Identiti, corak permainan tunjuk petanda positif

PHNOM PENH: Era baharu bola sepak Malaysia mula menunjukkan perkembangan positif menerusi kejayaan skuad Bawah 18 Tahun (B-18) melangkah ke pusingan akhir Kejuaraan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) 2020 di Uzbekistan.

Pengendali skuad B-18, Brad Maloney berkata, usaha berterusan dalam menerapkan identiti bola sepak negara ke dalam diri pemain muda diterjemahkan anak buahnya menerusi corak permainan konsisten seterusnya berjaya membenam Thailand 1-0, semalam.

Beliau berkata, anak buahnya yang bakal bermain di liga tempatan selepas ini, akan membawa identiti berkenaan untuk menjadikan bola sepak negara lebih berkualiti pada masa akan datang.

“Sebelum ini, saya sudah berbincang dengan pengurusan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) dalam usaha membawa identiti dan corak permainan bola sepak negara kepada pemain muda ini. Perkara ini sudah menunjukkan petanda positif dan tidak mustahil mutu bola sepak Malaysia akan berada pada tahap lebih baik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan keempat Kumpulan G di Stadium Nasional Olimpik, petang semalam.

Selain itu, beliau berkata, pujian harus diberikan kepada pemain yang komited mengekalkan rentak permainan sekali gus menyukarkan Thailand untuk melakukan serangan.

“Pemain menunjukkan prestasi cemerlang dan berjaya menyerap setiap serangan selain bijak mengatur strategi ke kubu lawan hingga menghasilkan gol. Mereka tidak bermain dalam keadaan tekanan cuma mahukan kemenangan bagi mencerahkan peluang ke pusingan seterusnya. Ternyata mereka berjaya melakukannya,” katanya.

Sementara itu, jurulatih Thailand, Ithsara Taweesri mengakui Malaysia bermain baik dan mempunyai barisan pemain ‘berbahaya’.

Selepas berhempas pulas menentang Kemboja yang menyaksikan pasukannya tewas 0-2 kelmarin, Ithsara mengaku faktor keletihan menjejaskan momentum pasukannya untuk beraksi baik.

Beliau berkata, anak buahnya sudah mencuba namun belum cukup untuk mengekang asakan Malaysia.

“Cukup sedih apabila kalah kerana kami sememangnya mahu menang supaya berpeluang ke pusingan akhir nanti. Malaysia bermain baik dan tersusun malah setiap serangan kami berjaya dipatahkan.

“Apa yang boleh saya katakan ialah Malaysia mempunyai pemain muda yang bagus dan mutu permainan yang baik,” katanya dalam sidang media selepas perlawanan.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 6:00am
d