arena

'Tanyalah pengadil, bukan saya!'

Oleh Reuters

PENGURUS Manchester City Pep Guardiola enggan terbawa-bawa kontroversi berhubung gol pembukaan Liverpool ketika tewas 1-3 di Anfield awal pagi tadi yang menyebabkan pasukannya ketinggalan sembilan mata berbanding pendahulu Liga Perdana Inggeris itu.

Pertahanan Liverpool Trent Alexander-Arnold dilihat memegang bola di kawasan penalti namun sebalik memberikan City penalti, pasukan tuan rumah meneruskan permainan dan 22 saat kemudian Fabinho meledak gol pertama.

Guardiola kelihatan berang di tepi padang, begitu juga Sergio Aguero yang sedang beraksi dan selepas wisel terakhir, beliau berjabat tangan dengan pemain Liverpool sebelum bertemu pegawai perlawanan dan berkata ‘terima kasih banyak’ dengan nada menyindir.

Insiden itu menjad titik tolak kemenangan Liverpool yang mendahului sembilan mata berbanding juara bertahan City yang kini di tangga keempat, satu mata di belakang Chelsea dan Leicester City.

Ditanya pandangannya mengenai gol pembukaan itu, Guardiola memberitahu tidak akan membincangkannya.

“Tanyalah pengadil, jangan tanya saya,” katanya kepada Sky Sports.

“Tanya kepada (ketua pengadil) Mike Riley dan mereka yang mengendalikan VAR, jangan tanya saya."

Guardiola lebih senang membincangkan mengenai aksi luar biasa oleh pasukannya yang tewas.

“Apa yang berlaku hari ini adalah kami menunjukkan mengapa kami adalah juara,” katanya.

“Di stadium ini untuk bermain seperti ini sesuatu yang luar biasa, jadi saya bangga dengan pasukan saya lebih daripada biasa.”

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 8:53am
d