arena

Juve menang, Ronaldo bengang

Oleh AFP

PAULO Dybala menjaringkan gol kemenangan Juventus untuk menewaskan AC Milan 1-0 awal pagi tadi selepas menggantikan Cristiano Ronaldo dan membolehkan Juventus kekal mendahului Serie A, manakala Lazio dan Cagliari menyertai zon kelayakan Liga Juara-Juara.

Penyerang Argentina Dybala menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-77 di Stadium Allianz selepas menggantikan tempat Ronaldo 20 minit sebelum itu.

Juara bertahan Juventus mengekalkan kelebihan satu mata ke atas skuad kendalian Antonio Conte Inter Milan yang sebelum itu mendahului liga selepas menewaskan Verona 2-1 awal pagi semalam.

Kekalahan ketujuh AC Milan dalam 12 perlawanan menyaksikan skuad kendalian Stefano Pioli jatuh ke tangga ke-14, empat mata di atas zon penyingkiran.

Ronaldo, pemenang lima anugerah Ballon d’Or yang juga dibawa keluar ketika aksi Liga Juara-Juara menentang Lokomotiv Moscow, dilaporkan meninggalkan stadium sebelum tamat perlawanan selepas digantikan pada minit ke-55.

"Kami patut berterima kasih kepada Cristiano yang masih boleh bermain biarpun tidak berada pada tahap optimum,” kata jurulatih Juventus Maurizio Sarri.

“Pada bulan lalu dia berasa tidak selesa di lututnya dan ini masalah kecil buatnya.

“Sesuatu yang biasa apabila pemain tersinggung kerana meninggalkan padang terutama selepas dia bekerja keras untuk berada di sana.”

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 9:27am
d