arena

Federer enggan pulang awal

Oleh Reuters

ROGER Federer mengakui dia tidak boleh melakukan kesilapan jika mahu mengelak tersingkir awal di Kejohanan Akhir ATP apabila tewas perlawanan pertama kumpulan kepada Dominic Thiem awal pagi tadi.

Pemain Switzerland berusia 38 tahun itu yang memburu gelaran ketujuhnya dalam kejohanan itu tetapi yang pertama sejak 2011, bergelut untuk menangani permainan agresif Thiem apabila tewas 7-5 7-5.

Hanya sekali dalam 16 penampilan terdahulu Federer gagal melepasi peringkat kumpulan iaitu pada 2008 dan untuk mengelak tersingkir awal, dia perlu menewaskan Matteo Berrettini awal pagi Rabu dan mungkin Novak Djokovic awal pagi Khamis.

Djokovic yang berhasrat merampas ranking nombor satu dunia dari Rafael Nadal, menewaskan pendatang baharu Berrettini 6-2 6-1 pada hari pembukaan perlawanan perseorangan di O2 Arena.

Thiem memberikan tekanan berterusan buat Federer dan mencatat kedudukan 5-5 dalam setiap set sebelum meraih kemenangan ketiga ke atas pemain Switzerland itu tahun ini.

“Ramalan saya, ia kejohanan yang normal dari sini dan seterusnya,” kata Federer, juara Grand Slam 20 kali itu, yang tewas kepada Djokovic pada final Wimbledon Julai lalu.

“Saya tidak boleh kalah lagi. Itulah harapan saya setiap minggu saban tahun sejak 20 tahun lalu jadi dari kedudukan itu, tiada perkara yang baharu di sana.

“Saya perlu bangkit, pastikan bermain lebih baik daripada hari ini dan harap dapat menang perlawanan (menentang Berrettini)."

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 12:00pm
d