arena

Pelantikan Khairy tidak sah?

Oleh Saiful Affendy Sapran

ISU pemilihan kepimpinan baru Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) memasuki fasa baru apabila pelantikan calon presiden, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Timbalan Presiden Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF) adalah tidak sah dan boleh dipertikaikan kesahihannya.

Ketua Penolong Pesuruhjaya Sukan (PJS), Asmadi Mohamad menerusi sepucuk surat ditandatanganinya menyatakan Khairy tidak pernah memohon untuk menjadi ahli kepada persekutuan itu tetapi nama beliau dicadangkan setiausaha semasa Mesyuarat Agung Tahunan bertarikh 3 Mac lalu.

"Pejabat ini mengambil maklum bahawa pada fasal enam perlembagaan menyatakan keahlian terbahagi kepada empat kategori iaitu ahli gabungan, ahli bersekutu, ahli individu dan ahli kehormat di mana ahli individu dan ahli kehormat adalah ahli yang boleh dilantik oleh jawatankuasa induk.

"Pihak persekutuan juga mengakui terlepas pandang mengenai pelantikan Khairy semasa Mesyuarat Agung Tahunan (AGM) badan sukan itu bercanggah dengan Fasal 17.5 perlembagaan menyatakan jika terdapat kekosongan jawatan dalam jawatankuasa induk, calon yang mendapat undi kedua terbanyak semasa pemilihan lepas dengan sendirinya layak untuk memegang jawatan itu.

"Jika tiada calon demikian atau calon berkenaan menolak jawatan itu, maka pemilihan bagi mengisi kekosongan perlu dibawa ke Mesyuarat Agung Tahunan akan datang. Oleh yang demikian, pada pemahaman pejabat ini, pelantikan Khairy sebagai timbalan presiden pada Mesyuarat Agung Tahunan itu boleh dipersoal dan dipertikaikan kesahihannya," katanya seperti dipetik dalam surat dialamatkan dan diterima Setiausaha Kehormat MWRF pada 9 Oktober lalu.

Bekas Menteri Belia dan Sukan sebelum itu adalah salah satu daripada dua calon Presiden MPM atas tiket sebagai Timbalan Presiden MWRF namun ketika itu juga ramai pihak mempersoalkan pelantikannya itu.

Seorang lagi calon adalah Presiden Persatuan Kanu Malaysia (MASCA), Datuk Seri Megat D Shahriman Zaharudin yang mengemukakan bantahan berhubung status Khairy itu.

Kemelut AGM MPM yang sepatutnya berlangsung Jun lalu sehingga kini masih belum menemui jalan penyelesaian meskipun beberapa langkah sudah diambil.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 6:04pm
d