arena

Nwakaeme mahu rehat dahulu

Oleh Asrol Awang

SEGALANYA belum pasti buat Dickson Nwakaeme sama ada khidmatnya masih ditagih skuad Pahang bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan dan dia juga belum lagi membuat sebarang keputusan selepas semusim bersama Tok Gajah.

Namun, Nwakaeme berterima kasih kepada Pahang dan Malaysia sepanjang dia mengharungi saingan Liga M musim ini.

"Selepas berdepan masalah kecederaan selama dua musim, saya kembali mempamer prestasi lebih baik bersama Pahang. Tapi, saya belum membuat keputusan mengenai masa depan kerana ingin bersama keluarga terlebih dahulu," tulis Nwakaeme di Instagram miliknya.

Musim ini, Nwakaeme yang turut digelar `Orang Besi' membuktikan dia penyerang berbisa selepas meledak 19 gol bersama Pahang termasuk sembilan dalam saingan Piala Malaysia .

Namun, pemain berumur 33 tahun itu gagal membantu skuad kendalian Dollah Salleh menjulang piala musim ini.

Pada penampilan sulung Nwakaeme bersama Pahang musim 2014, penyerang itu membantu mereka menjulang tiga trofi iaitu Piala Malaysia, Piala FA dan Piala Sumbangsih.

Selepas bersama Pahang pada 2014-2015, Nwakaeme menyarung jersi kelab Perancis, Angres SCO pada 2016 dan 2017.

Musim lalu, penyerang kelahiran Lagos, Nigeria itu tidak beraksi akibat kecederaan dan kembali bersama Pahang musim ini dan berjaya mengembalikan prestasi terbaik.

Disiarkan pada: November 11, 2019 @ 7:30pm
d