arena

England gugur Sterling kerana gaduh

Oleh Reuters

PEMAIN sayap England, Raheem Sterling disingkirkan daripada skuad berdepan Montenegro bagi aksi kelayakan Euro 2020 di Wembley selepas “gangguan” di pusat latihan pasukan kebangsaan semalam, menurut Persatuan Bolasepak (FA) England.

“FA mengesahkan Raheem Sterling tidak dipertimbangkan bagi aksi kelayakan Euro 2020 Khamis ini menentang Montenegro susulan gangguan di kawasan terpencil di St George’s Park hari ini,” umum FA dalam satu kenyataan.

Akhbar Daily Mail melaporkan pemain sayap Manchester City, Sterling bertekak dengan pertahanan Liverpool, Joe Gomez selepas pasukan England berkumpul di pusat latihan Burton-on-Trent semalam – kurang 24 jam selepas City tewas 1-3 di Liverpool.

Akhbar itu melaporkan “Sterling cuba mencekik leher Gomez sebaik dia tiba di kantin pemain.”

Dua pemain itu bertembung pada babak akhir perlawanan Liga Perdana Inggeris Ahad lalu selepas Gomez tampil sebagai pemain gantian.

Kenyataan FA, yang menegaskan Sterling tetap kekal dalam skuad, tidak menyatakan dengan jelas pergaduhan atau mengesahkan jika Gomez pemain terbabit namun bos England, Gareth Southgate mengaitkan insiden itu dengan pertembungan dua pasukan teratas Ahad lalu.

“Kami mengambil keputusan untuk tidak mempertimbangkan Raheem bagi perlawanan menentang Montenegro Khamis ini (awal pagi Jumaat),” kata Southgate.

England menghuni tangga teratas Kumpulan A dan boleh memastikan tempat ke pusingan akhir sekiranya seri dengan Montenegro.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 10:56am
d