arena

'Saya kecewa kemelut tak selesai'

Oleh Ferzalfie Fauzi

KEMELUT berpanjangan melanda Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) ternyata menghadirkan rasa kecewa Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman.

Beliau juga mengakui ia menjejaskan tugasan untuk persiapan Sukan Para ASEAN dan Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

"Saya sebagai menteri cuba untuk tidak masuk campur dan berharap mereka selesaikan mengikut peraturan sedia ada. Saya masih menunggu tapi dalam masa sama kecewa sebab sudah berbulan-bulan belum selesai," katanya.

Syed Saddiq yang ditemui di Majlis Pelancaran Rasmi Barangan Sukan 'Team Mas', mengakui sangat kecewa selepas ramai yang datang bertanyakan kenapa masalah berkenaan belum diselesaikan.

"Saya harap mereka menyelesaikan masalah ini secepat mungkin. Jika ia dibiarkan semakin lama sudah tentu sangat membebankan. Saya tidak mahu bercakap mengenai tarikh akhir bila perkara ini harus diselesaikan.

“Setakat ini saya hanya mendapat maklum balas dari Pesuruhjaya Sukan (PJS), Dr Wirdati Mohd Radzi. Beliau seorang profesional dalam jurusan undang-undang dan bukan saja MPM tapi banyak lagi masalah persatuan lain harus diselesaikan," kata Syed Saddiq.

Sementara itu, beliau juga menyelar pemimpin badan sukan kebangsaan yang tidak berkhidmat demi kepentingan sukan tapi lebih bersifat peribadi.

Ujar Syed Saddiq, siapa saja yang hendak merebut jawatan itu harus memikirkan tanggungjawab dan tidak boleh mempunyai sifat kepentingan peribadi. Beliau mengakui beliau lebih suka sekiranya badan sukan kebangsaan diterajui bekas atlet mahupun ahli perniagaan berbanding 'trend' terkini yang dimonopoli ahli politik.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 6:20pm
d