arena

Sumareh yakin jinak Gajah Perang

Oleh Firdaus Hashim

TONGGAK naturalisasi pertama negara, Mohamadou Sumareh percaya skuad Harimau Malaya mampu mengejutkan Thailand pada aksi keempat Kumpulan G Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Khamis ini.

Meskipun skuad Gajah Perang bakal hadir dengan reputasi hebat apabila membariskan ramai pemain beraksi di Liga Eropah dan Jepun, dia yakin skuad negara turut memiliki kekuatan tersendiri bagi menyaingi lawan yang kini berada di kedudukan ke-109 dunia itu.

Jelas pemain sayap kanan kelahiran Gambia itu, peningkatan berterusan skuad kendalian Tan Cheng Hoe dalam beberapa siri aksi persahabatan serta kelayakan Piala Dunia bukti betapa Malaysia kini bukan lagi pasukan enteng yang boleh diperkotak-katikkan mana-mana pasukan.

Sebelum ini, skuad negara mengejutkan pasukan di ranking ke-116 iaitu Tajikistan dengan 1-0 pada perlawanan persahabatan pada Sabtu lalu selain hampir memalukan Emiriah Arab Bersatu (UAE) dengan kekalahan tipis 1-2 dalam kelayakan Piala Dunia bulan lalu.

"Tahun lepas dalam Piala AFF mereka (Thailand) tidak menyenaraikan skuad terbaik kerana komitmen pemain utama mereka bersama kelab masing-masing dalam Liga Jepun dan Eropah.

"Tapi kali ini mereka nampak bersungguh-sungguh dengan membawa skuad terbaik untuk mencari kemenangan. Tetapi jangan lupa, kita juga membariskan skuad berbeza tahun ini dan tampak lebih kuat daripada sebelumnya. Malah, kelebihan beraksi di halaman sendiri juga bakal menjadi elemen tambahan buat pasukan kita," katanya ketika ditemui pada sesi latihan di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), hari ini.

Skuad negara ketika ini berada di tangga keempat kumpulan dengan tiga mata manakala Thailand yang dibimbing jurulatih dari Jepun, Akira Nishino gah memimpin carta dengan tujuh mata selepas tiga perlawanan.

Berdasarkan rekod pertemuan sejak 1959, skuad Harimau Malaya lebih cemerlang dengan mencatat 40 kemenangan daripada 110 pertemuan di mana Thailand sekadar memenangi 35 kali aksi dan selebihnya berakhir seri.

Bagaimanapun, dalam lapan pertemuan terakhir bermula dari 2012, Malaysia hanya mampu menang sekali dan tewas empat kali dengan tiga kali terikat seri.

Disiarkan pada: November 12, 2019 @ 10:57pm
d