arena

Aksi epik tumbangkan legenda: Thiem

Oleh AFP

DOMINIC Thiem mempamerkan aksi menyerang luar bisa untuk menundukkan Novak Djokovic dan mara ke separuh akhir Kejohanan Akhir ATP awal pagi tadi, menyebabkan pemain Serbia itu terpaksa mengharungi perlawanan penentuan menentang Roger Federer.

Dalam perlawanan paling menarik di O2 Arena London, pilihan kelima dari Austria itu berjuang bermati-matian menentang pemain nombor dua dunia, bangkit daripada tewas set pertama untuk menang 6-7 (5/7), 6-3, 7-6 (7/5).

Terdahulu, Federer meletakkan dirinya kembali dalam saingan kejohanan terakhir musim ini dengan kemenangan 7-6 (7/2), 6-3 ke atas pendatang baharu dari Itali Matteo Berrettini dalam pertarungan round-robin itu.

Federer dan Djokovic akan bertembung sesama sendiri awal pagi Jumaat dalam aksi ulangan final Wimbledon untuk menentukan pemain mana akan layak dari Kumpulan Bjorn Borg.

Thiem dipaksa mempamerkan aksi agresif menentang pemilik 16 gelaran Grand Slam itu, memukau penonton dengan pukulan depan bertenaga dan pukulan kilas menggunakan sebelah tangan.

Dipaksa beraksi habis-habisan, dia melakukan 50 winner berbanding 27 dilakukan Djokovic, tetapi juga melakukan 44 kesilapan.

“Ini salah satu daripada perlawanan istimewa, latihan yang saya jalani sepanjang hayat, sejak kecil lagi,” kata Thiem.

“Perlawanan epik dalam suasana menakjubkan, menewaskan legenda permainan ini dan saya juga layak ke separuh akhir, itu yang terbaik.”

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 10:32am
d