arena

Penyerang terbilang Sepanyol gantung but

Oleh AFP

PENYERANG prolifik, David Villa yang juga penjaring terbanyak Sepanyol mengumumkan persaraan bulan depan sekali gus mengakhiri karier gemilang selepas menjuarai Piala Dunia, Kejohanan Eropah dan Liga Juara Juara.

Penyerang Vissel Kobe berusia 37 tahun itu berkata, dia akan berbuat demikian pada hari terakhir musim Liga J selepas 19 tahun menghabiskan karier bersama Barcelona, Atletico Madrid dan Valencia dengan meraih 98 kap untuk negaranya.

"Saya bercadang menamatkan karier profesional saya dan bersara,” kata Villa kepada wartawan di Kobe.

"Saya telah memikirkannya sekian lama. Keputusan saya ini hasil perbincangan dengan keluarga dan mereka di sekitar saya. Saya mahu bersara daripada bola sepak, bukan dipaksa bersara,” katanya sambil menahan emosi.

Villa bakal menjadi pelabur di Queensboro FC berpangkalan di New York yang beraksi di divisyen dua bola sepak AS.

"Walaupun saya tidak lagi berada di atas padang, saya akan terus terbabit dalam bola sepak dengan cara lain dan menyumbang kepada dunia bola sepak,” katanya.

Villa beraksi dalam tiga Piala Dunia dan menjulangnya pada 2010 selain menjuarai Kejohanan Eropah 2008 tetapi terlepas kejuaraan 2012 susulan kecederaan. Dia menjaringkan 59 gol bersama Sepanyol yang turut menjadi rekod kebangsaan.

Kejayaan cemerlangnya di peringkat kelab dengan menjuarai Liga Juara Juara 2010-11, Kelab Super UEFA 2011, Piala Kelab Dunia 2011 dan dua kali juara La Liga musim 2010-11 dan 2012-13 bersama Barcelona.

Villa menjaringkan gol ketiga ketika Barcelona menewaskan Manchester United 3-1 di Wembley pada final Liga Juara Juara 2010-11. Dia memenangi gelaran La Liga ketiga bersama Atletico Madrid pada musim 2013-14 selepas meninggalkan Barcelona.

Villa kemudiannya mencipta impak ketika bersama New York City di Major League Soccer dengan menjaringkan 80 gol daripada 124 penampilan.

Di Vissel Kobe, dia beraksi bersama legenda Sepanyol, Andres Iniesta dan penyerang Jerman, Lukas Podolski tetapi kehadiran penyerang import veteran gagal merealisasikan misi kelab Jepun itu dengan Vissel Kobe kini berada di tangga ke-10 selepas 31 perlawanan, kedudukan sama tahun lalu.

Villa menjaringkan 12 gol dalam 26 penampilan bersama Vissel dan dia dijangka beraksi tiga lagi perlawanan Liga J selain aksi separuh akhir dan final Piala Maharaja.

Majlis persaraannya bakal diadakan pada 7 Disember, hari terakhir aksi Liga J.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 7:31pm
d