arena

Gajah Perang ubah 'karakter' di Bukit Jalil

Oleh Firdaus Hashim

BELUMPUN bermula pertarungan antara skuad Harimau Malaya dan Gajah Perang, Akira Nishino sudah mula melancarkan perang psikologi apabila mengakui bakal tampil dengan taktikal berbeza di Stadium Nasional Bukit Jalil, malam esok.

Jelas pengendali Thailand dari Jepun itu, aksi keempat Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 menentang Malaysia adalah cukup penting bagi memastikan pasukannya kekal memimpin carta Kumpulan G itu.

Nishino, 64, yang membimbing Jepun mara hingga ke pusingan kedua Piala Dunia di Russia tahun lalu sebelum tumbang kepada Belgium 3-2 sudah memiliki ramuan tersendiri untuk menjerat pasukan tuan rumah.

"Untuk layak ke pusingan seterusnya (pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia) kita kena berikan aksi terbaik tidak kira sama ada bermain di tempat sendiri atau bertandang ke tempat lawan.Apa yang pasti, kita akan persembahkan aksi berlainan tidak seperti ketika menang ke atas Emiriah Arab Bersatu (UAE) tempoh hari.

"Saya lebih gemar memberi fokus perlawanan demi perlawanan dan mengubah taktikal pasukan mengikut kemampuan lawan yang akan kita temui nanti," katanya pada sidang media di Stadium Nasional Bukit Jalil, hari ini.

Thailand yang mengumpul tujuh mata daripada tiga aksi setakat ini dianggap pilihan untuk menewaskan Malaysia berdasarkan barisan pemain yang dibawa ke Kuala Lumpur kali ini.

Beberapa pemain ternama skuad Gajah Perang yang beraksi di liga Eropah dan Jepun turut disenaraikan seperti Chanathip Songkrasin, Theerathon Bunmathan, Kawin Thamsatchanan dan Teerasil Dangda

Sementara itu, ketua pasukan Thailand yang juga penjaga golnya, Siwarak Tedsungnoen sudah tidak sabar beraksi menentang tuan rumah malam esok.

"Kami gembira dapat bermain di Stadium Nasional Bukit Jalil yang indah dan moden ini. Bagi saya, suasana stadium yang boleh memuatkan ribuan penyokong mampu meningkatkan semangat kami untuk memburu kemenangan," katanya yang beraksi bersama Buriram United.

Disiarkan pada: November 13, 2019 @ 9:28pm
d