arena

Penyokong desak Emery letak jawatan

Oleh Agensi

UNAI Emery menyertai komuniti bola sepak dunia menghargai sumbangan David Villa yang mengumumkan persaraannya hari ini.

Bagaimanapun, mesej di Twitternya dipenuhi jawapan balas yang menggesa pengurus Arsenal berdepan tekanan itu meninggalkan Stadium Emirates.

Villa yang berusia 37 tahun dan pemenang Piala Dunia dan Kejohanan Eropah mengesahkan akan menggantung but di penghujung musim Liga J.

Bekas penyerang Barcelona itu beraksi di Valencia ketika dikendalikan Emery antara 2008 dan 2010 sebelum berpindah ke Barcelona.

Emery menghargai Villa di laman sosialnya dengan berkata: “Terlalu banyak detik meyakinkan dan kerjasama berpasukan. Bangga dapat berkongsi sebahagian karier saya bersama pemain berbakat besar dan bekerja dengan anda, Villa. Terima kasih di atas segalanya dan saya harap anda akan meraih yang terbaik dalam cabaran selepas ini, David.”

Tetapi penyokong Arsenal yang berang dengan prestasi kelab mereka musim ini membalas mesej itu dengan menggesa pemecatannya.

Seorang penyokong berkata: “Fikirkan...tiba masanya untuk anda bersara seperti dia” manakala yang lain berkata “Berambus dari kelab ini dan jangan datang lagi.”

Ada yang berkata: “Menunggu hari untuk kami sampaikan mesej selamat tinggal” dengan ramai lagi turut mahu Emery tinggalkan Emirates.

Bukan hanya penyokong Gunners hilang sabar dengan Emery yang tidak menang lima perlawanan berturut-turut dalam semua kejohanan. Bekas pemain tengah Arsenal, Paul Merson menggesa Brendan Rodgers mengambil alih tugas: “Saya fikir dia (Rodgers) salah seorang yang terbaik dalam bidang ini. Jika saya Arsenal, saya akan menghubungi Leicester dan berkata “Berapa anda mahu?”.

Bekas rakan sepasukan Merson, Emmanuel Petit turut melahirkan nada yang sama. “Saya percaya sudah tiba masanya Unai Emery meninggalkan Arsenal.”

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 12:39am
d