arena

Dari 'sangkar' ke Wembley

Oleh Reuters

SATU ketika dahulu pemain muda di Britain mengasah bakat bola sepak mereka di jalanan, di antara kawasan perumahan dan tanah lapang di kawasan bandar dan industri.

Masa berubah, permainan kini jauh lebih tersusun di peringkat muda, di mana kanak-kanak sekolah rendah dibawa menyertai sesi latihan akademi Liga Perdana Inggeris dengan jersi berjenama dan kawasan jalanan dipenuhi kereta dan tiada ruang untuk bermain.

Begitupun masih ada pemain yang muncul dari bola sepak jalanan, mungkin dengan gaya berbeza.

Banyak majlis tempatan membina kawasan berpagar yang dikenali sebagai ‘sangkar’ di mana kanak-kanak boleh bermain bola sepak dengan bebas tanpa bimbang jika bola ‘melayang’ ke jalan raya atau memecahkan tingkap tetangga.

Pada awal pagi esok di Wembley, salah seorang pemain dari ‘sangkar’ London Selatan, pemain sayap Chelsea Callum Hudson-Odoi, bakal memulakan aksinya bersama England untuk menentang Montenegro dalam perlawanan ke-1,000 pasukan negara itu, di mana satu mata sudah mencukupi untuk membawa mereka ke Euro 2020.

“Sewaktu saya masih muda, saya banyak bermain bola di sangkar, di jalanan, tidak kira di mana saja asalkan saya dapat menendang bola atau lakukan apa saja dengannya,” kata Hudson-Odoi. di kem latihan England minggu ini.

Sangkar London Selatan turut melahirkan ramai pemain berbakat antaranya pemain England Jadon Sancho, yang beraksi dengan Borussia Dortmund, Ademola Lookman, juga di Jerman bersama RB Leipzig, dan pemain muda berbakat Fulham Ryan Sessegnon.

Hudson-Odoi percaya aksi kompetitif tetapi dalam suasana tidak formal dalam bola sepak sangkar, menghasilkan pemain dengan keinginan tinggi untuk menunjukkan kemahiran teknikal mereka.

“Bola sepak sangkar banyak membantu kerana di situlah kami membesar dan di situlah kami sentiasa bermain bola sepak,” katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 9:22am
d