arena

Nadal bangkit melawan

Oleh AFP

RAFAEL Nadal bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan Daniil Medvedev awal pagi tadi untuk terus melangkah dalam Kejohanan Akhir ATP dan mencerahkan peluangnya menamatkan tahun ini sebagai pemain nombor satu dunia.

Pemain Sepanyol itu berada di ambang kekalahan apabila ketinggalan 1-5 pada set penentuan tetapi bangkit untuk menang 6-7 (3/7), 6-3, 7-6 (7/4).

“Hari ini adalah antara harinya di mana kebarangkalian satu daripada 1,000 anda menang dan ia berlaku hari ini,” kata Nadal.

Pemain Sepanyol itu berkata kejayaan mendapatkan break pada set penentu memberikan keyakinan terhadapnya untuk terus berjuang.

“Apabila anda mendapat break pertama, 5-3 dan kemudian anda hanya ketinggalan satu break,” katanya.

“Kini saya tahu daripada pengalaman peribadi betapa sukarnya untuk menamatkan perlawanan, terutamanya apabila anda memiliki dua break dan anda tewas yang pertama. Dari detik itu, saya fikir saya mempunyai peluang.”

Kedua-dua pemain berdepan tekanan selepas tewas perlawanan pertama round-robin dalam Kumpulan Andre Agassi pada Isnin.

Nadal berdepan misi berganda di London, menyasarkan untuk menjuarai kejohanan akhir musim buat kali pertama sepanjang kariernya dan memastikan gelaran nombor satu dunia.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 12:03pm
d