arena

Hadin sah tinggalkan The Fighters

Oleh Asrol Awang

SELEPAS lima musim bersama Felda United FC, Hadin Azman mengesahkan tidak lagi bersama kelab itu bagi menghadapi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Biarpun masih berteka-teki pasukan baharu yang akan disertai pemain kelahiran Kuala Lumpur itu, kapten The Fighters musim ini berterima kasih kepada kelab berkenaan.

"Saya gembira di atas kepercayaan yang diberikan pengurusan selama lima musim sejak 2015 terutama dari segi prestasi.

"Banyak kenangan manis dan pahit bersama Felda United. Namun, saya gembira kerana kelab ini masih kekal bersaing dalam Liga Super musim depan.

"Bukannya saya tidak gembira di Felda United tetapi sudah tiba masanya saya beralih dan mencari pengalaman baru bersama pasukan lain.

"Pengalaman yang dimiliki diharap dapat diterjamahkan dengan pasukan baharu dalam memburu kejayaan dan mempamerkan prestasi yang lebih baik," katanya.

Mengikut rekod, Hadin memulakan kerjaya bersama skuad Harimau Muda B pada 2012 sebelum menyertai Johor Darul Ta'zim (JDT) pada 2013 dan 2014.

Pencapaian terbaik bersama Felda United sejak 2015 ialah membantu kelab itu muncul juara Liga Perdana 2018, sekali gus kembali bersaing dalam saingan Liga Super musim ini.

Ditanya pasukan yang bakal disertainya musim depan, pemain tengah itu belum membuat sebarang keputusan setakat ini.

Namun, pemain berumur 25 tahun itu berkata, empat pasukan dari Liga Super berminat mendapatkan khidmatnya dan segalanya akan diputuskan awal Disember depan.

"Saya tidak mahu terburu-buru dalam membuat keputusan kerana mahu yang terbaik dan menjadi tonggak utama pasukan yang disertai nanti," katanya.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 2:02pm
d