arena

Ikon paralimpik bangkit semula

Oleh Saiful Affendy Sapran

"SAYA yakin mereka akan bangkit semula di Sukan Paralimpik." Demikian keyakinan Menteri Belia dan Sukan, Syed Saddiq Syed Abdul Rahman mengulas kegagalan tiga ikon paralimpik negara yang gagal mempertahankan pingat emas masing-masing pada kejohanan Olahraga Para Dunia di Emiriah Arab Bersatu.

Tiga atlet terbabit ialah jaguh lompat jauh, Abdul Latif Romly yang meraih perak acara T20; atlet lontar peluru, Ziyad Zolkefli juga perak manakala jaguh pecut, Ridzuan Puzi gangsa dalam acara 100 meter T36.

"Mereka ada sembilan bulan lagi sebelum bermula Sukan Paralimpik di Tokyo (2020). Saya tahu mereka ini atlet luar biasa dan selama ini tidak pernah mengecewakan negara. Secara peribadi saya mengenali ketiga-tiga mereka.

“Semangat mereka sangat luar biasa dan kesemuanya sangat bekerja keras. Jika dulu mereka boleh memenangi pingat emas, saya pasti mereka akan mengharumkan nama negara di Sukan Paralimpik Tokyo," katanya.

Untuk rekod, ketiga-tiga atlet itu mengharumkan nama negara apabila berjaya meraih emas pada Sukan Paralimpik Rio 2016.

Syed Saddiq ditemui pada majlis memeterai perjanjian penajaan sebanyak RM5 juta hari ini oleh FWD Takaful Berhad, jumlah tajaan terbesar untuk atlet paralimpik sebagai persediaan ke Sukan Paralimpik Tokyo 2020.

Jumlah penajaan itu meliputi kos peralatan sukan, latihan, pakaian, perjalanan dan perbelanjaan lain yang berkaitan untuk atlet paralimpik negara bermula 1 Januari 2020. Sementara itu, Syed Saddiq mengulangi saranan untuk Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) menyelesaikan kemelut pemilihan kepimpinan badan induk itu secara dalaman.

"Dua hari lalu saya dimaklumkan ada masalah pula berhubung pencalonan yang datangnya daripada Persekutuan Ragbi Kerusi Roda Malaysia (MWRF).

“Ini juga perlu dibincangkan semula untuk memastikan kita memperoleh jalan terbaik dan menyelesaikan masalah ini secepat mungkin," katanya.

Beliau merujuk kepada laporan pelantikan calon presiden MPM yang juga bekas Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar sebagai Timbalan Presiden MWRF yang dipertikaikan kesahihannya oleh Pesuruhjaya Sukan (PJS).

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 6:24pm
d