arena

Yew Sin-Ee Yi cipta sensasi

Oleh Saiful Affendy Sapran

KEJUTAN dilakar beregu lelaki negara, Ong Yew Sin-Teo Ee Yi apabila berjaya mengetepikan pilihan kelima, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto pada pusingan kedua Terbuka Hong Kong hari ini.

Yew Sin-Ee Yi mempamer aksi cemerlang apabila meraih kemenangan 21-19, 21-14 ke atas lawan dari Indonesia itu dalam tempoh 40 minit.

"Saya akui hari ini ) kami beraksi dengan agak baik. Tapi ada juga beberapa kesilapan kecil yang tidak sepatutnya kami lakukan. Agak bernasib baik apabila kami berjaya memenangi perlawanan ini dan sekarang kami hanya mahu fokus pada perlawanan seterusnya," kata Ee Yi.

Yew Sin-Ee Yi akan bertemu gandingan Korea Selatan, Choi Solgyu-Seo Seung Jae pada aksi suku akhir esok.

Turut mara beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai yang menewaskan gandingan Jepun, Kohei Gondo-Ayane Kurihara 21-14, 21-8 dalam tempoh 30 minit. Soon Huat-Shevon akan bertemu pilihan ketiga dari Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai di suku akhir esok.

Disiarkan pada: November 14, 2019 @ 6:39pm
d