arena

Dua faktor jinakkan Thailand: TCH

Oleh BERNAMA

SEMANGAT juang sebenar dan enggan menyerah kalah menjadi faktor utama kemenangan 2-1 Harimau Malaya ke atas Thailand pada perlawanan pusingan kedua kelayakan Piala Dunia 2022, menurut jurulatih Tan Cheng Hoe.

Cheng Hoe memuji anak didiknya kerana mempamerkan satu daripada persembahan memberangsangkan tahun ini menentang skuad Gajah Perang, yang menghuni ranking ke-109 dunia di Stadium Nasional, Bukit Jalil malam tadi.

Malaysia, yang ketinggalan susulan jaringan Chanathip Songkrasin pada minit ketujuh bangkit menerusi gol Brendan Gan pada minit ke-26 dan Mohamadou Sumareh pada minit ke-56.

Ia kemenangan kedua pasukan bimbingan Cheng Hoe dalam kempen Kumpulan G selepas mengatasi Indonesia 3-2 pada perlawanan pembukaan sebelum kalah berturut-turut kepada Emiriah Arab Bersatu (1-2) dan Vietnam (0-1).

“Semua pemain amat fantastik. Ia tidak mudah kerana kami tahu Thailand menghantar pasukan yang kuat. Bagaimanapun, pemain kami menunjukkan semangat juang dan enggan menyerah kalah, itu paling penting untuk kami meraih tiga mata yang amat berharga.

“Walaupun ketinggalan gol awal, satu masalah yang perlu diatasi, tapi disebabkan pemain bersatu hati dan percaya kami boleh melakukan sesuatu, sebelum kami dapat ‘turning point’ menerusi jaringan Brendan. Selepas itu kami dah nampak peluang terbaik untuk jaringkan gol.

“Perjalanan kami pada kempen kelayakan ini baru separuh, kami ada empat perlawanan lagi, jadi kemenangan ini memberi motivasi untuk mencari keputusan positif pada perlawanan seterusnya,” katanya pada sidang akhbar selepas perlawanan malam tadi.

Pakar taktik itu turut meminta anak didiknya supaya kekal konsisten menjelang pertembungan dengan musuh tradisi Indonesia di stadium sama Selasa ini.

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 11:07am
d