arena

Sterling, Southgate pertahan Gomez

Oleh Reuters

PENYERANG England, Raheem Sterling yang diketepikan ketika menang 7-0 ke atas Montenegro selepas bergaduh dengan rakan sepasukan, Joe Gomez tampil mempertahankan pemain pertahanan Liverpool itu yang diejek segelintir penyokong di Wembley.

Sterling digugurkan oleh pengurus England, Gareth Southgate selepas bertekak dengan Gomez di pusat latihan pasukan, St George’s Park, Isnin lalu.

Pergaduhan dua pemain itu dikatakan berlarutan selepas kemenangan 3-1 Liverpool ke atas Manchester City di Anfield dalam pertembungan dua pasukan teratas Liga Perdana Inggeris, minggu lalu.

Sterling menyaksikan England mara ke pusingan akhir Euro 2020 di bangku penonton tetapi menggunakan media sosial untuk mengutuk penyokong selepas dia mendengar Gomez menjadi sasaran ejekan ketika masuk sebagai pemain gantian.

“Kepada semua peminat England, saya mahu melupakan segala-galanya tapi malam ini saya perlu membuka mulut sekali lagi: sukar untuk saya melihat rakan sepasukan diejek disebabkan kesilapan saya,” tulis Sterling dalam laman Twitter.

“Joe tidak melakukan sebarang kesalahan dan bagi saya untuk melihat seseorang yang tenang dan bekerja keras, terutama selepas mengharungi minggu yang sukar, datang ke sini malam ini dan diejek adalah satu kesilapan.

“Saya bertanggungjawab penuh dan menanggung akibatnya. Saya berasakan yang saya perlu menyatakannya.”

Southgate berkata, beliau tidak memahami kenapa peminat menjadikan Gomez sebagai sasaran.

“Tiada seorang pun pemain England patut diejek. Kami satu pasukan dan Joe tidak melakukan sebarang kesilapan. Saya sudah menyatakan dengan jelas minggu ini jadi saya tidak memahaminya.

“Dia dan Sterling amat rapat dan seluruh pasukan amat rapat jadi kami tidak mahu melihat seseorang dilayan sebegitu.”

Disiarkan pada: November 15, 2019 @ 2:51pm
d