arena

Southgate turunkan semula Sterling

Oleh AFP

PENGURUS England, Gareth Southgate dijangka menurunkan semula Raheem Sterling bagi aksi kelayakan Euro 2020 menentang Kosovo ketika beliau mahu menamatkan kontroversi perbalahan bintang Manchester City itu dengan Joe Gomez.

Sterling digugurkan ketika membelasah Montenegro 7-0 awal pagi semalam selepas bergaduh dengan rakan sepasukan England, Gomez di kantin pusat latihan Three Lions.

Sterling dipercayai tidak berpuas hati terhadap Gomez susulan pertembungan dengan pertahanan Liverpool itu ketika kalah pada aksi Liga Perdana Inggeris di Anfield hujung minggu lalu.

Sekalipun Sterling diketepikan bagi aksi menentang Montenegro sebagai hukuman kerana menyerang Gomez, Southgate mengesahkan pemain sayap itu akan kembali bagi aksi terakhir England dalam Kumpulan A.

Sterling dan Gomez, yang luka di bawah matanya susulan insiden itu, dikatakan sudah berbaik semula namun pertahanan tengah itu diejek penyokong England di Wembley ketika dia masuk sebagai pemain gantian menentang Montenegro.

Dengan England sudah melayakkan diri ke pusingan akhir Euro 2020 sebagai juara kumpulan, Southgate merancang melakukan perubahan, sekalipun beliau berminat memastikan England berakhir dengan kemenangan ketika mereka mengintai enam pilihan teratas pada kejohanan tahun depan.

“Sudah tentu kami akan melakukan perubahan, tapi senarai pilihan dalam kumpulan mungkin penting dan kami sedar ia malam besar buat rakyat Kosovo,” kata Southgate.

“Ia menyedihkan buat mereka kerana gagal layak sekalipun mereka masih ada peluang playoff yang mana saya fikir mereka ancaman utama dalam format itu. Jadi ia satu ujian baik buat kami kerana suasananya tetap menarik.”

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 11:40am
d