arena

Terima peluru, Conte dikawal polis

Oleh AFP

JURULATIH Inter Milan Antonio Conte mendapat perlindungan polis selepas sepucuk surat ugutan mengandungi peluru dihantar kepada beliau menerusi pos, lapor media Itali hari ini.

Menurut Corriere della Sera, bekas jurulatih Itali dan Chelsea itu menerima surat tanpa nama mengandungi sebutir peluru beberapa hari kebelakangan ini.

Kelab Serie A Inter Milan kemudiannya dalam sebuah kenyataan kepada agensi berita Ansa bahawa ‘surat itu dihantar di kelab dan bukan kepada jurulatih secara peribadi’.

“Berhubung berita yang diterbitkan hari ini, Inter Milan menyatakan bahawa Antonio Conte tidak menerima sebarang surat ugutan secara peribadi dan tidak pergi membuat aduan,” menurut kenyataan kelab itu.

“Surat itu diterima pihak kelab dan sebagai amalan dalam situasi seperti ini, mereka menghubungi pihak berkuasa.”

Satu penyiasatan dilancarkan manakala Conte menerima kawalan polis di luar rumah dan pusat latihan Inter, lapor Gazzetta Dello Sport.

Sementara itu, isteri Conte Elisabetta Muscarello menulis di media sosial: “Untuk rekod, kisah peluru itu satu olokan!”

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 10:21pm
d