arena

Terjunan emas Tze Liang-Yiwei

Oleh Iskandar Shah Mohamed

PENERJUN kebangsaan, Ooi Tze Liang meneruskan rentak kecemerlangan apabila menghadiahkan pingat emas kedua Malaysia pada Kejohanan Terjun Grand Prix FINA, malam ini.

   Kejayaan itu diraih bersama gandingannya, Chew Yiwei dalam acara 3 meter (m) papan anjal seirama lelaki pada aksi final di  Pusat Akuatik Nasional, Bukit Jalil, di sini. 

Dua sandaran negara itu menyempurnakan enam terjunan dengan mengumpul 410.60 mata, manakala pingat perak diraih Tai Xiaohu/Zhang Chao dari China (387.75). 

Pingat gangsa pula dimenangi gandingan Perancis, Alexis Jandard/Gwendal Bisch dengan kutipan 374.94 mata. 

Tze Liang mengakui berdepan tekanan berikutan pernah bersaing dengan gandingan dua negara itu sebelum ini.  

"Namun, saya nekad untuk fokus sepenuhnya dan gembira kerana dapat meraih emas kedua buat negara," katanya. 

Semalam, atlet berusia 25 tahun itu turut menjuarai acara 3 meter papan anjal individu lelaki selepas menewaskan lima penerjun lain dengan 439.70 mata.  

Perak menjadi milik penerjun China, Miao Zhanming (417.75 mata) manakala peserta dari Switzerland, Jonathan Suckow meraih gangsa (405.55).  

Tze Liang turut bakal menggalas cabaran kem terjun kebangsaan bersama tujuh atlet lain pada Sukan SEA Filipina, bulan depan.

Disiarkan pada: November 16, 2019 @ 10:45pm
d