arena

STAR tetap pilihan Felda

Oleh Asrol Awang

FELDA United mengesahkan Stadium Tun Abdul Razak (STAR), Jengka, Maran masih kekal menjadi gelanggang rasmi kelab itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Setiausaha Agung kelab itu, Afizal Abu Othman berkata, tiada perancangan untuk menukar gelanggang rasmi The Fighters terutama di sekitar Lembah Klang.

"Setakat ini, STAR tetap menjadi pilihan pengurusan kelab untuk memastikan pasukan terus beraksi dan melakar kejayaan.

"Pada masa sama, kelab ini juga berjaya untuk menarik kehadiran peminat bola sepak untuk memberi sokongan.

"Ia dapat disaksikan dengan penambahan penonton di stadium musim ini," katanya yang mengharap The Fighters mempamerkan prestasi lebih baik musim 2020.

Felda United mula menjadikan STAR sebagai stadium rasmi pada 2016 sehingga kini.

Stadium bernilai RM92 juta itu dibuka secara rasmi pada 15 Disember 2015 dan boleh memuatkan kira-kira 25,000 penonton.

Antara kemudahan disediakan termasuk padang rumput tiruan, bilik persalinan, gimnasium dan ruang meletak kenderaan yang cukup luas.

Musim ini, tanpa barisan pemain `ternama', The Fighters yang membariskan pemain muda tetap memberi tentangan sengit kepada pasukan lebih berpengalaman.

Pencapaian terbaik kelab itu ialah layak ke separuh akhir Piala FA dan menamatkan saingan Liga Super di tangga ke-10.

Bagi saingan Piala Malaysia pula, misi Felda United untuk melakar kejutan tersekat di peringkat kumpulan.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 12:11pm
d