arena

Penyokong perlu rasa tanggungjawab

Oleh Firdaus Hashim

PERSATUAN Bolasepak Malaysia (FAM) mengingatkan orang ramai supaya tidak menjual atau menjadi 'orang tengah' kepada penyokong Indonesia yang berhasrat untuk mendapatkan tiket bagi perlawanan Malaysia menentang Indonesia di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Kuala Lumpur, Selasa ini.

Setiausaha Agung FAM, Stuart Ramalingam berkata, ia bagi memastikan tidak berlakunya masalah terutama dari segi keselamatan serta aliran kemasukan penyokong kedua-dua pasukan ke dalam stadium pada hari perlawanan.

Katanya, jualan tiket aksi Kelayakan Piala Dunia 2022/Piala Asia 2023 itu mencecah sehingga 74,308 keping dan ia dijangka habis terjual dalam masa terdekat ini memandangkan kapasiti stadium yang hanya boleh memuatkan 90,000.

Malah, berdasarkan sambutan hangat itu, berkemungkinan besar tidak akan ada penjualan tiket secara fizikal di kaunter tiket di stadium pada hari perlawanan jika kesemua tiket habis terjual atas talian.

"Untuk makluman, isu ini (jual tiket kepada penyokong lawan) terjadi pada perlawanan Malaysia menentang Thailand di stadium sama, Khamis lalu apabila jumlah kehadiran penyokong pasukan pelawat, Thailand adalah seramai kira-kira 5,000 orang, melebihi jumlah tiket yang diperuntukkan FAM kepada penyokong Thailand iaitu untuk 2,500 orang.

"Ia berpunca daripada sikap segelintir warga bola sepak Malaysia sendiri yang 'membantu' penyokong pelawat membeli tiket menggunakan kuota kawasan tempat duduk penyokong tuan rumah (Malaysia) untuk masuk ke dalam stadium, sekali gus menyukarkan pihak keselamatan untuk menempatkan penyokong pelawat ini di tempat yang sepatutnya.

"Jadi untuk mengelak perkara sama berulang pada perlawanan Malaysia dan Indonesia, FAM dan Polis Diraja Malaysia sekali lagi ingin menasihatkan warga bola sepak Malaysia supaya tidak menjadi punca kepada masalah ini dengan mengambil sikap bertanggungjawab tidak menjual hak penyokong Malaysia ini kepada penyokong pelawat.

"Saya percaya, jika semua pihak memberikan kerjasama dalam menangani masalah ini, sudah pasti tidak timbul masalah berkaitan tempat duduk penyokong," katanya yang memperuntukkan sejumlah 4,500 tiket bagi penyokong skuad Garuda seperti mana dimohon Persatuan Sepak Bola Seluruh Indonesia (PSSI) dan ia akan diuruskan badan induk bola sepak negara berkenaan.

Disiarkan pada: November 17, 2019 @ 1:29pm
d