arena

Kekal takhta CP150

Oleh Raja Noraina Raja Rahim

PELUMBA Petronas Sprinta Yamaha-CKJ Racing, Ahmad Afif Amran mengulangi pencapaian 2018 apabila sah bergelar juara keseluruhan Kejohanan Cub Prix Malaysia Petronas 2019, semalam.

Juara bertahan CP150 itu mendahului carta dengan kutipan 147 mata dengan meninggalkan pencabar terdekat Md Akid Aziz daripada pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor dengan kutipan 112 mata.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing, Azroy Hakeem Anuar pula di tempat ketiga dengan mengumpul 102 mata ketika ini.

Bagaimanapun, tempat kedua dan ketiga akan dimuktamadkan pada pusingan akhir yang bakal berlangsung Litar Antarabangsa Sepang (SIC) pada 7 dan 8 Disember ini.

Afif ketika ditemui selepas perlumbaan berkata, dia berdepan cabaran sengit sepanjang pusingan, walaupun dia konsisten untuk berada di kedudukan depan sepanjang perlumbaan ini.

“Sepanjang perlumbaan saya sentiasa fokus untuk berada dalam kelompok depan. Perlumbaan hari ini (semalam) sangat sengit kerana semua pelumba saling mencabar.

“Alhamdulillah, rezeki berpihak kepada pasukan saya untuk muncul juara sekali lagi bagi musim ini walaupun saya tewas,” katanya.

Mengakui tidak membuat persiapan rapi untuk musim ini kerana terkesan dengan kehilangan pelumba pasukannya iaitu Md Hafiz Nor Azman yang meninggal dunia akibat kemalangan tahun lalu, Afif bersyukur atas kejuaraan kali ini.

Menurutnya, dia tidak menyangka kejuaraan pada kali ini berpihak kepadanya.

“Pada musim ini sebenarnya saya tidak melakukan apa-apa persiapan, mungkin hasil kerjasama pasukan sepanjang perlumbaan saya berjaya memperoleh kejuaraan ini,” katanya.

Pada pusingan ke-9 itu, Afif sekadar berpuas hati di tangga kedua dengan catatan masa 15 minit 06.511 saat tewas kepada Akid dengan catatan masa terbaik perlumbaan 15:05.564 saat.

Rakan sepasukan Afif, Md Aiman Thiruddin di tempat ketiga dengan catatan masa 15:07.494 saat.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 4:45am
d