arena

Perancis pastikan Albania berduka

Oleh Reuters

JUARA dunia Perancis menampilkan persembahan baik dalam perlawanan julung kali diadakan di Stadium Arena Kombetare yang merupakan gelanggang terbaharu Albania, selepas jaringan Corentin Tolisso dan Antoine Griezmann memastikan kemenangan 2-0 pada kelayakan Euro 2020 Kumpulan H awal pagi ini.

Perancis yang sudah mengesahkan kemaraan ke kejohanan disertai 24 negara tahun depan, menamatkan saingan di tangga teratas kumpulan dengan 25 mata daripada 10 perlawanan, dua di depan pasukan tangga kedua, Turki yang menang 2-0 di Andorra.

Albania, yang tiada peluang untuk menghuni dua kedudukan teratas, tampak kurang berbisa di depan penyokong sendiri serta perwakilan UEFA termasuk ketua badan induk itu, Aleksander Ceferin.

Tolisso meledak jaringan buat Perancis selepas lapan minit apabila dia menanduk masuk hantaran percuma Griezmann dari kiri.

Griezmann menambah jaringan kedua pada minit ke-31 apabila menyambar hantaran lintang rendah Leo Dubois yang menyaksikan jurang ketara antara kedua-dua pasukan di depan 22,000 penyokong.

Perancis terus memberi tekanan selepas rehat dan Olivier Giroud terlepas tiga peluang untuk menambah jaringan apabila dua kali dinafikan penjaga gol, Etrit Berisha manakala satu lagi terkena tiang.

Sementara itu Turki yang juga sudah mengesahkan tempat berbaki satu perlawanan, mengatasi Andorra hasil dua jaringan babak pertama penyerang, Enes Unal.

Dalam kumpulan yang turut membabitkan Iceland mencatat kemenangan 2-1 di Moldova namun kemenangan itu gagal membantu pasukan berkenaan layak secara automatik sebaliknya berpeluang beraksi menerusi play off pada Mac ini.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 11:27am
d