arena

Nasir sasar trofi bersama TFC

Oleh Malik Muhamad

SELEPAS dirantai skuad Terengganu FC (TFC) minggu lalu, bekas kapten Perak, Nasir Basharuddin pantas menyasarkan sekurang-kurangnya satu trofi bersama skuad Penyu itu musim 2020.

Baginya skuad kendalian Nafuzi Zain itu mempunyai ciri-ciri sebagai juara sebagaimana yang dibuktikan ketika menjuarai kejohanan jemputan Piala Sheikh Kamal di Bangladesh bulan lalu selain muncul naib juara Piala Malaysia musim lalu.

"Saya yakin TFC mampu capai kejayaan dalam liga domestik (Liga Malaysia) musim depan, ketika menjuarai Piala Sheikh Kamal di Bangladesh, pemain skuad itu mempamerkan aksi mantap dan bertenaga.

"Saya lihat pemain muda skuad itu ada kelas yang tersendiri ini ditambah gabungan pemain import yang berpengalaman seperti Lee Tuck dan Sanjar Shaakmedov, selain Faris Ramli ia pastinya lebih menarik buat satu-satu pasukan.

"Dengan kekuatan itu, semestinya saya ingin cuba mendapatkan piala bersama TFC dan cuba mendapat semaksima mungkin minit bermain pada tahun depan," kata pemain berusia 29 tahun itu.

Pada aksi final Piala Malaysia musim lalu, bekas pemain tengah kebangsaan itu menjadi ancaman utama kepada skuad TFC selepas membantu pasukannya meraih trofi Piala Malaysia menumpaskan TFC 4-1 menerusi penentuan sepakan penalti selepas kedudukan terikat 3-3 hingga masa tambahan.

Ketika ditanya adakah dia yakin berada dalam kesebelasan utama pasukan baharunya itu kerana terpaksa bersaing dengan tiga pemain import termasuk tonggak Singapura, Faris selain Tuck dan Shaakmedov, Nasir menyerahkan kepada barisan jurulatih untuk membuat keputusan.

"Itu terserah kepada strategi jurulatih, walau bagaimanapun sebagai pemain tugas saya adalah peragakan aksi terbaik untuk mendapatkan tempat dalam kesebelasan utama kerana tiada apa yang mustahil.

"Saya juga tidak mahu bergelar 'penumpang' dalam pasukan," ujar Nasir yang mengakui kejayaan merangkul trofi Piala Malaysia musim lalu adalah saat indah dalam kariernya lebih-lebih lagi dia berjaya meledak lima gol dalam saingan piala berprestij itu.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 12:15pm
d