arena

Nigeria, Senegal lakar kemenangan

Oleh Reuters

PENYERANG meningkat naik Nigeria, Victor Osimhen meledak dua gol ketika membantu pasukannya bangkit daripada ketinggalan satu gol untuk menewaskan Lesotho 4-2 dalam aksi Kumpulan L kelayakan Piala Negara Afrika di Maseru, awal pagi ini.

Pasukan dari barat Afrika itu ketinggalan menerusi gol awal Masoabi Nkoto tapi mendahului selepas waktu rehat ketika Alex Iwobi menyamakan kedudukan dan Samuel Chukwueze meletakkan pasukan itu didepan.

Osimhen dilabel sebagai pemain yang paling mencuri tumpuan di padang dan diberikan habuan diatas usahanya ketika Nigeria memperoleh enam mata penuh dalam dua perlawanan pembukaan kelayakan mereka.

Gol kedua Lesotho hadir menerusi jaringan sendiri Chidozie Awaziem.

Penyerang Senegal yang beraksi bersama Bristol City, Famara Diedhiou meledak hatrik dalam masa sembilan minit pada separuh masa kedua ketika menewaskan Eswatini, yang sebelum ini dikenali Swaziland 4-1 saingan Kumpulan I ketika naib juara 2019 turut memungut mata maksima daripada dua perlawanan.

Diedhiou mempersia-siakan penalti separuh masa pertama ketika pasukan tidak memperoleh sebarang gol menuju ke waktu rehat dengan penyerang Liverpool, Sadio Mane dikeluarkan pada waktu rehat oleh jurulatih Aliou Cisse.

Selepas aksi bertenaga Diedhiou, perancang tengah tuan rumah, Fanelo Mamba menjaringkan gol dan kemudian diperintah keluar padang, sebelum Badou Ndiaye memastikan gol keempat buat pelawat ketika 15 minit berbaki permainan.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 12:40pm
d