arena

Ronaldo buat pusingan U, sokong Sarri

Oleh Agensi

CRISTIANO Ronaldo menafikan pergeserannya dengan pengurus Juventus, Maurizio Sarri malah mempertahankan keputusan pengendali itu menggantikannya dalam dua perlawanan berturut-turut.

Pemain berusia 34 tahun itu tampak agresif ketika dikeluarkan ketika menang 2-1 ke atas Lokomotiv Moscow dalam aksi Liga Juara Juara awal bulan ini hanya beberapa hari selepas dia dia turut digantikan ketika juara Serie A itu menewaskan Milan.

Kekecewaan Ronaldo jelas dilihat di RZD Arena dan berlarutan di Stadium Allianz beberapa hari kemudian apabila dia memaki Sarri selepas digantikan pada minit ke-55.

Maurizio Sarri mempertahankan keputusannya itu dan menegaskan kecederaan lutut Ronaldo menjadi punca dia digantikan dalam kedua-dua perlawanan.

Bagaimanapun, Ronaldo membuat pusingan U dengan menyokong tindakan Sarri dan mengakui dia tidak cergas sepenuhnya.

“Sejak tiga minggu lalu, pergerakan saya agak terbatas,” katanya kepada wartawan selepas Portugal menewaskan Luxembourg 2-0 semalam.

“Semua orang tahu saya tak suka digantikan tetapi tiada masalah terhadap isyarat saya ketika digantikan. Saya cuba membantu Juventus dengan beraksi walaupun berdepan kecederaan.

“Tiada siapa suka digantikan tetapi saya memahaminya kerana saya kurang cergas dalam dua perlawanan, tidak 100 peratus.”

Ronaldo membantu negaranya layak ke Euro 2020 semalam dengan menjaringkan gol kedua ketika menewaskan Luxembourg bagi memastikan tempat ke pusingan akhir tahun hadapan.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 6:38pm
d