arena

ECP atasi masalah tunggakan gaji

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

LIGA Bolasepak Malaysia (MFL) optimis masalah tunggakan gaji membelenggu pemain dalam Liga Malaysia sebelum ini mampu diatasi sepenuhnya dalam tempoh lima tahun lagi dengan pelaksanaan Program Kawalan Ekonomi (ECP).

Presidennya, Datuk Hamidin Mohd Amin berkata, syaratnya setiap rakan kongsi liga komited mengikuti peraturan ECP yang menumpukan aspek peraturan kewangan untuk mengawal dan mendidik pasukan berbelanja secara berhemah.

Beliau berkata, sebenarnya MFL berharap masalah berkenaan dapat ditangani secepat mungkin demi kebaikan semua pihak, namun memahami kekangan dihadapi kelab bola sepak di Malaysia.

"Tapi, kalau boleh saya nak (selesai) secepat mungkin. Masalah pembayaran gaji, cukai pendapatan dan KWSP (Kumpulan Wang Simpanan Pekerja) diminimumkan.

"Jika mereka berbelanja mengikut ECP dengan dipantau MFL, Insya-Allah perkara ini (masalah kewangan tidak akan terjadi)," katanya pada sidang media selepas Bengkel ECP hari ini. Sehubungan itu beliau menyeru rakan kongsi menerima pelaksanaan ECP bertujuan memastikan kewangan pasukan bola sepak Liga Super dan Liga Perdana berada dalam keadaan lebih baik dan memiliki pendapatan mampan.

Hamidin berkata, ECP akan terus diperluaskan meliputi bidang lain antaranya peraturan pemilikan pemasaran dan kelab bermula 2021 sehingga 2024.

Beliau optimis pengenalan ECP dalam Liga Malaysia akan memberikan lebih banyak input positif dengan kelab dikehendaki mengemukakan unjuran pendapatan mereka kepada MFL dalam bentuk belanjawan kewangan bagi memastikan kewangan mereka lebih stabil.

Disiarkan pada: November 18, 2019 @ 10:10pm
d