arena

Nidzam akur hilang empat tonggak

Oleh Asrol Awang

PENGENDALI Felda United FC, Mohd Nidzam Jamil terkilan kerana tidak dapat 'menahan' penghijrahan empat tonggak utama kelab itu bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Bekas pemain kebangsaan itu berkata, empat pemain itu ditawarkan lanjutan kontrak tetapi tiada persetujuan dicapai sebaik kontrak berakhir hujung bulan ini.

"Hasil perbincangan kita terpaksa akur dengan keputusan mereka demi kepentingan bersama terutama kerjaya dalam mengembangkan lagi bakat mereka.

"Namun secara peribadi saya terkilan kerana mereka adalah tonggak utama pasukan yang membantu The Fighters ketika kami berada dalam situasi sukar.

"Lebih-lebih lagi kita melakukan segalanya untuk memastikan Felda United kekal beraksi dalam saingan Liga Super musim depan dan misi itu berjaya direalisasikan.

"Banyak pengorbanan yang mereka lakukan bersama pemain lain dan kami berterima kasih di atas kerjasama dan sumbangan yang diberikan sepanjang musim ini," katanya.

Empat pemain yang memutuskan meninggalkan kelab itu ialah Hadin Azman yang juga kapten pasukan musim ini, Norazlan Razali, Christie Jayaseelan dan Arif Fadzillah Abu Bakar.

Setakat ini, hanya Arif Fadzillah yang sudah mengesahkan pasukan baharu yang disertainya iaitu Terengganu FC (TFC) manakala Hadin, Norazlan dan Cristie belum membuat pengumuman.

Mengulas sumbangan empat pemain berkenaan, Mohd Nidzam mendoakan bekas anak buahnya itu cemerlang bersama pasukan baru masing-masing.

"Bagi meletakkan Felda United dapat bersaing dan memberi saingan kepada pasukan yang lebih mantap musim depan, saya perlu mencari pemain yang boleh mengisi kekosongan yang ditinggalkan.

"Biarpun ia dilihat sukar, segalanya akan dilakukan mengikut perancangan ditetapkan pengurusan kelab," katanya.

Disiarkan pada: November 19, 2019 @ 2:31pm
d