arena

City enggan lepas Sterling

Oleh Agensi

MANCHESTER City memulakan perbincangan dengan Raheem Sterling untuk tawaran baharu yang lebih lumayan, setahun selepas dia menandatangani kontrak terakhirnya.

Pemain England berusia 24 tahun itu menandatangani kontrak lanjutan bernilai £300,000 (RM1.61 juta) seminggu November tahun lalu.

Dia menjaringkan 14 gol dalam semua kejohanan musim ini dan prestasinya ketika ini meletakkannya di tahap lebih tinggi.

Dia kini dilihat sebagai antara salah seorang pemain terbaik dunia dan kelab ternama Eropah termasuk Real Madrid dan Barcelona baru-baru ini menunjukkan minat mendapatkan Sterling mendapatkannya musim panas depan.

Kontrak Sterling ketika ini tamat pada 2023 namun City bercadang untuk mengikatnya berikutan kepentingannya terhadap juara Liga Perdana Inggeris itu.

Sterling menggalas tugas penting dalam pasukan Pep Guardiola dan menjadi peneraju terhadap perjuangan menentang perkauman.

Dia juga memberi nilai kepada City di luar padang dengan penyerang itu dianggap pemain paling laku dan dikenali di seluruh dunia.

Dia terbabit dengan pertelagahan dengan Joe Gomez ketika tugasan antarabangsa minggu lalu.

Sterling meminta maaf kepada pertahanan Liverpool itu dan mempertahankan Gomez di media sosial selepas diejek penyokong England ketika menewaskan Montenegro Khamis lalu.

Selepas tidak beraksi ke atas Montenegro, Sterling dikembalikan ke pasukan itu oleh pengurus England Southgate dan membantu dua jaringan ketika menewaskan Kosovo, Isnin lalu.

Disiarkan pada: November 20, 2019 @ 9:16pm
d