arena

Cummings umum bersara dari lumba basikal

Oleh Agensi

PEMENANG pingat perak Sukan Olimpik, Steve Cummings umum bersara daripada dunia basikal profesional.

Cummings, 38, pernah bersama kuartet Britain yang memenangi pingat perak acara kejar mengejar berpasukan pada Olimpik 2004 dan menang pingat emas dalam acara sama di Sukan Komanwel Melbourne 2006.

“Saya berasakan sangat istimewa kerana berjaya memenuhi impian saya dan melihat kembali kenangan yang cukup indah,” kata Cummings.

Cummings turut memenangi peringkat Tour de France pada 2015 dan 16.

Dia bertahan sehingga mengalami kecederaan serius musim akhir bersama pasukan Dimension Data, yang berakhir dalam keadaan kurang bernasib baik apabila terbabas di Tour of Britain ketika peringkat kelima berhampiran kampung halamannya di Wirral, menyebabkannya mengalami kecederaan retak beberapa tulang belakang dalam kemalangan itu.

Bercakap pada Never Strays Far podcast, Cummings menambah dia mungkin boleh berlumba untuk semusim lagi tetapi mendapati peluangnya agak sukar selepas NTT Pro Cycling - pasukan yang dijenamakan semula daripada pasukan Dimension Data - mengumumkan dia tidak berada dalam senarai pasukan itu.

“Saya tidak begitu kecewa, saya gembira kerana memperoleh peluang yang ada.” katanya.

“Saya mahu menyambung untuk setahun lagi, saya berasakan keadaan fizikal masih baik tetapi peluang berkenaan tidak ada untuk meneruskannya.

“Saya cuba mencari peluang itu dan ia agak tipis jadi inilah dia, saya perlu bersara dan mencari pekerjaan lain.

“Dalam erti lain ia adalah penamat yang baik dalam karier satu kilometer daripada rumah, tetapi tidak dengan keadaan tulang belakang yang patah, ia bukan sebahagian daripada perjanjian.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 9:53am
d