arena

Sedia rebut posisi Apek, Solehin

Oleh Asrol Awang

TIADA membimbangkan buat bekas penjaga gol kebangsaan, Norazlan Razali apabila menerima tawaran menyarung jersi Melaka United (MU) bagi saingan Liga Malaysia (Liga M) musim depan.

Penjaga gol Felda United FC musim ini berkata, keputusan menyertai skuad Hang Tuah dibuat selepas memikirkan hala tuju dalam meneruskan kerjaya bola sepak.

"Biarpun perlu bersaing dengan dua lagi penjaga gol iaitu Apek (Khairul Fahmi Che Mat (Apek) dan Ahmad Solehin Mamat, saya akan lelakukan yang terbaik untuk dipilih selaku pilihan utama.

"Lagipun saya sudah biasa bersaing untuk merebut posisi utama ketika bersama Johor Darul Ta'zim (JDT) dan Selangor.

"Saya juga sukakan kepada cabaran apabila bersaing dengan Mohd Izham Tarmizi Roslan dari JDT dan Khairul Azhan Mohd Khalid (Selangor) sebelum ini.

"Bagi saya jika kita dapat mempamerkan prestasi dan komited, rezeki selaku penjaga gol utama akan menjadi milik kita," katanya.

Ditanya keputusan berhijrah ke Melaka United selepas bersama The Fighters selama semusim, Norazlan berkata, ia keputusan yang sukar.

Namun, dia yang sukakan cabaran bersedia untuk membantu MelaKa United meraih kejayaan membanggakan.

"Saya harapkan rakan sepasukan juga dapat mempamerkan prestasi lebih baik," katanya.

Musim ini, Norazlan membuktikan khidmatnya ditagih Felda United apabila bermain kesemua perlawanan dalam Liga Super, Piala FA dan Piala Malaysia.

Pemain berumur 34 tahun itu turut membawa kelab itu layak ke separuh akhir Piala FA dan memastikan Felda United kekal bersaing dalam Liga Super.

Namun, misi The Fighters mencapai kejayaan di Piala Malaysia tersekat di peringkat kumpulan.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 4:11pm
d