arena

Annas sahut cabaran Melaka

Oleh Mohd Amin Jalil

SELEPAS kontrak bersama Petaling Jaya City FC tidak disambung, pemain tengah Annas Rahmat beralih arah apabila bersetuju menyertai skuad Melaka United (MU) bagi mengharungi saingan Liga Malaysia (Liga-M) musim depan.

Bekas penolong kapten Negeri Sembilan itu akui teruja apabila pihak pengurusan Persatuan Bolasepak Melaka (MUSA) bersetuju menerimanya sebagai orang baharu dalam pasukan itu.

Pemain kelahiran Seremban itu berkata, dia sudah menerima surat tawaran daripada MUSA untuk menyertai skuad berkenaan, yang akan beraksi di saingan Liga Super musim depan.

"Saya sudah menerima surat tawaran untuk bersama MU musim depan dan ketika ini sedang menunggu tandatangan kontrak.

"Saya bersyukur dengan tawaran itu kerana dapat mengembangkan lagi kemahiran dalam permainan bola sepak selain menimba pengalaman berharga di bawah bimbingan jurulatih berpengalaman, Zainal Abidin Hassan," katanya di Seremban, hari ini.

Annas berusia 25 tahun adalah antara pemain muda yang berjaya dilahirkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Sembilan (PBNS) apabila dia mula mendapat pendedahan selepas menyertai skuad Piala Presiden negeri itu.

Bekas pemain Harimau Muda B itu pernah bersama Negeri Sembilan selama dua musim dari 2016 hingga 2017.

Dia kemudiannya menyertai PKNS FC pada 2018 dan meneruskan kariernya dengan menyertai PJ City FC.

Annas berkata, dia berjanji akan menggunakan pengalaman beraksi dengan pasukan lain sebelum ini untuk memberikan sumbangan terbaik bersama MU.

"Saya akan terus berusaha meningkatkan lagi prestasi demi merealisasikan sasaran dan impian yang ditetapkan pengurusan pasukan MU musim depan," katanya.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 4:23pm
d