arena

Klopp 'paling best' - Mane

Oleh Agensi

SADIO Mane memuji Jurgen Klopp sebagai 'pengurus terbaik di dunia' dengan menyifatkan caranya mengurus, kemahiran motivasi dan kebijaksanaan dimilikinya berada dalam kelas yang lain.

Mane adalah salah seorang pemain terawal ditandatangani oleh Klopp selaku bos Liverpool, tiba di Anfield dari Southampton dengan harga £34 juta (RM183j) pada musim panas 2016.

Sejak itu, pengurus dan pemain kelab itu berkembang dan mendapat kekuatan yang meletakkan mereka selaku kuasa utama Eropah.

Klopp mengemudi Liverpool menjulang Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu dan Reds kini berada lapan mata di depan juara bertahan, Manchester City.

Mane menjadi sebahagian daripada kejayaan kelab itu dan kini dianggap salah seorang pemain terbaik dunia apabila dicalonkan untuk Anugerah Ballon D'Or.

Pemain antarabangsa Senegal itu menyatakan mengapa dia yakin Klopp adalah pengurus bola sepak terbaik di planet ini.

“Saya pasti saya akan bergelut untuk memberitahu bagaimana dia begitu berjaya bersama Liverpool," kata Mane dalam Majalah Rasmi Bulanan Liverpool FC.

“Setiap orang dapat melihat apa dilakukannya untuk kelab ini, bandar ini dan kualiti dimilikinya sebagai pengurus.

“Biarpun terdapat ramai pengurus yang bagus di Eropah tetapi apa saya dapat perkatakan pengurus kami sentiasa ada perkataan yang tepat.

“Malah, dia juga mempunyai pendekatan yang tepat untuk mengendali pasukan ini dan ada cara tersendiri menangani karenah pasukan ini”.

Disiarkan pada: November 21, 2019 @ 5:16pm
d