arena

Eain Yow tumbang di London

Oleh Iskandar Shah Mohamed

JAGUH skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow gagal meneruskan kemaraan apabila tewas kepada pemain ranking lebih tinggi di Kejohanan Channel VAS di England, awal pagi ini.

Pada aksi pusingan kedua di St George's Hill, London, pemain berusia 21 tahun itu terpaksa akur dengan kehebatan pemain ranking ke-10 dunia, Marwan ElShorbagy dari Mesir.

Eain Yow bagaimanapun tidak memberi laluan mudah apabila mempamerkan aksi baik berdepan pilihan keenam kejohanan itu sebelum tewas 9-11, 6-11, 11-5, 6-11 dalam pertarungan selama 49 minit. 

Pada suku akhir esok, Marwan bakal berdepan tugas getir apabila menentang pemain ranking keempat dunia yang juga rakan senegara, Karim Abdel Gawad.

Pilihan kedua kejohanan itu mara selepas menundukkan pemain England, George Parker  13-11, 11-3, 4-11, 11-7.

Kejohanan yang berlangsung sehingga Ahad ini menawarkan hadiah wang tunai berjumlah AS$106,000 (RM440,774). 

Untuk rekod, Eain Yow meraih kejayaan terbesar dalam kariernya apabila menjuarai Kejohanan Terbuka Malaysia, September lalu.

Bekas juara remaja dunia 2016 itu turut beraksi cemerlang sehingga ke pusingan ketiga dengan menewaskan pemain ranking lebih tinggi pada Terbuka Mesir, bulan lalu.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 9:18am
d