arena

Soon Huat-Shevon banyak berubah

Oleh Ferzalfie Fauzi

INI semua disebabkan mereka perbaiki kemahiran asas dalam badminton, ujar Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann selepas Goh Soon Huat-Shevon Lai mara buat kali ketiga berturut-turut ke separuh akhir.

Beregu campuran negara itu berjaya melepasi saingan suku akhir Masters Korea selepas berjaya menundukkan wakil tuan rumah yang juga pilihan ketiga, Seo Seung Jae-Chae Yujung 11-21, 21-13, 26-24.

"Saya rasa mereka sudah memperbaiki kelemahan selepas ditegur sebelum ini. Perwatakan dan bahasa badan mereka juga turut diperbaiki," kata Choong Hann dihubungi Arena Metro, hari ini.

Menurutnya, analisa sudah dilakukan terhadap pasangan nombor lapan dunia itu sebelum ini dan beliau mengakui bahawa Soon Huat-Shevon sudah melakukan pembetulan.

"Mereka rajin untuk memperbetulkan kelemahan yang ada. Ia bukan berdasarkan kemahiran individu tapi kemahiran asas. Pekara itu akan sentiasa kekal di dalam badan mereka.

"Kecerdikan dan taktikal memang sangat penting namun untuk meraih mata melalui cara berkenaan ia bukannya sangat kerap. Jika ia tidak menjadi mereka harus mencari pelan B," katanya.

Ini adalah kali ketiga berturut-turut dalam tempoh tiga minggu, Soon Huat-Shevon berjaya mara ke separuh akhir namun mereka gagal untuk melangkah ke final Terbuka China dan Hong Kong apabila disekat wakil China.

Menanti mereka dalam saingan separuh akhir esok adalah wakil dari Taiwan, Lee Jhe Huei-Hsu Ya Ching yang sebelum itu menumpaskan satu lagi pasangan tuan rumah, Choi Solgyu-Shin Seung Chan 21-14, 15-21, 21-19.

Turut melangkah ke separuh akhir ialah pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016, Goh V Shem-Tan Wee Kiong selepas berjaya mengalahkan Di Zi Jian-Wang Chang (China) 16-21, 21-15, 21-16.

Sementara itu, pasangan profesional, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying terkandas apabila tumpas di tangan Yang Po Hsuan-Hu Ling Fang (Taiwan) 17-21, 16-21.

Disiarkan pada: November 22, 2019 @ 5:14pm
d