arena

Peluang raih keputusan cemerlang

Oleh Saiful Affendy Sapran

PRINSIPAL pasukan Petronas Sepang Racing Team (SRT), Datuk Razlan Razali mengharapkan keputusan lebih baik daripada Franco Morbidelli serta Fabio Quartararo musim depan selepas mereka memperoleh jentera spesifikasi A yang menyamai pasukan pengeluar, Yamaha MotoGP.

Jelas Razlan, jentera untuk musim 2020 dilihat lebih laju berbanding musim ini, sekali gus memberi keyakinan kepada pasukan satelit (kedua) seperti mereka untuk lebih cemerlang musim depan.

“Kedua-dua pelumba kami hanya akan dapat menguji jentera 2020 pada ujian rasmi di Jerez minggu depan. Tapi pelumba Yamaha MotoGP, Maverick Vinales sudah menguji jentera baharu itu pada ujian rasmi pertama beberapa hari lalu di Valencia dan nampaknya ia lebih laju,” katanya.

Jelas Razlan, Yamaha memberikan spesifikasi jentera yang sama kepada Morbidelli dan Quartararo seperti yang digunakan oleh Vinales serta juara dunia sembilan kali, Valentino Rossi.

Justeru katanya, tiada sebarang alasan untuk Morbidelli serta Quartararo gagal meraih keputusan baik.

“Bukan saja enjin tetapi semua bahagian spesifikasi adalah sama dengan yang digunakan oleh Vinales serta Rossi. Kami sememangnya masih lagi pasukan satelit tetapi saya mahu ubah tanggapan itu kerana kami kini boleh dilabel sebagai pasukan pengeluar kedua untuk Yamaha kerana jentera sama seperti pasukan pengeluar,” katanya.

Petronas SRT cemerlang pada musim pertama apabila meraih tujuh podium serta enam petak pertama.

Ia membolehkan pasukan itu dianugerahkan sebagai pasukan persendirian terbaik serta pelumba rookie terbaik menerusi Quartararo.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 4:15am
d