arena

Guardiola enggan serah kalah

Oleh AFP

PEP Guardiola melaungkan amaran kepada pendahulu Liga Perdana Inggeris, Liverpool apabila menyatakan Manchester City tidak akan berputus asa di sebalik jurang mata yang besar.

Bos City itu menyedari apa yang perlu dilakukan pasukannya, yang kini menghuni tangga keempat dan ketinggalan di belakang pendahulu dengan sembilan mata selepas hanya 12 perlawanan.

Namun mereka 10 mata di belakang pasukan kendalian Juergen Klopp pada hujung Disember tahun lalu sebelum mengatasi Reds untuk merangkul kejuaraan pada hari terakhir dengan satu mata.

“Orang ramai dan pengulas menyatakan ‘ia sudah berakhir,” katanya. “Kenapa saya patut memikirkan ia sudah berakhir? Hingga Mei ini, kami adalah juara dan kami mahu mempertahankannya.

“Kami lebih banyak tekanan. Mereka boleh kalah satu atau dua perlawanan dan saya lebih suka berada di posisi mereka.

“Tiga pasukan mempunyai lebih peluang memenangi Liga Perdana berbanding kami tapi kami baru saja berada di bulan November dan kami akan lihat bagaimana cara untuk bertindak balas.”

City menerima kunjungan Chelsea ke Etihad awal pagi esok dengan pasukan Frank Lampard satu anak tangga di atas mereka dalam carta, terikat sama mata dengan pasukan tangga kedua Leicester namun lapan mata di belakang Liverpool.

Jadi sebelum mereka boleh memikirkan untuk merapatkan jurang dengan Liverpool, City mesti mengatasi Chelsea, yang menang enam perlawanan liga berturut-turut.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 9:40am
d