arena

Terengganu akhiri penguasaan Sabah

Oleh Meor Riduwan Meor Ahmad

PASUKAN ragbi Terengganu mencipta kejutan apabila menewaskan Sabah 26-24 pada perlawanan akhir Piala Agong 2019 berlangsung di padang Universiti Putra Malaysia (UPM), petang tadi.

Lebih istimewa kejayaan sulung itu sekali gus melunaskan 'dendam' lima tahun lalu selepas tewas kepada juara empat kali itu pada pentas final 2014.

Sabah yang dibimbing bekas pemain New Zealand, Bradley Moni Mika tidak menunggu lama untuk berada di depan seawal 9 minit perlawanan menerusi 'try' dilakukan Sakiusa Terence Gavidi sebelum Mohd Fairuz Ab Rahman melengkapkan conversion dan penalti untuk mendahului 10-0.

Tersentak dengan itu, Terengganu mula memperkemas permainan dan hasilnya mereka pula berjaya mendahului menerusi try dilakukan Josaia Tokarua dan Amirul Mukminin Amizan pada minit ke-11 dan 32 selain conversion disempurnakan Muhammad Faizal Md Tahir untuk di depan 12-10.

Sabah kemudian berjaya memperoleh dua sepakan penalti disempurnakan Mohd Fairuz pada minit ke-36 dan ke-51 serta satu try Wilmer Wilfreddoline untuk mendahului 21-14.

Terengganu bagimanapun tampil dengan aksi lebih bertenaga selepas itu apabila mencipta try ketiga menerusi Mohd Syahir Asraf Rosli pada minit ke-61 disusuli conversion Mohamad Faris Pead untuk meletakkan skuad Pantai Timur itu menyamakan kedudukan 21-21.

Ketika Sabah seakan hampir mempertahankan kejuaraan menerusi penalti disempurnakan Mohd Fairuz pada minit ke-74, Terengganu mencipta try keempat menerusi bintang import, Timoci Vunimoku untuk menang 26-24.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 9:11pm
d