arena

LTdL julang imej negara di mata dunia

SELARAS dengan sambutan ke-25 (Jubli Perak) perlumbaan berprestij di Asia, Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) bakal dianjurkan lebih meriah dengan kemasukan semula peringkat di Sabah dan Sarawak.

Menurut pencetus dan pengasas LTdL yang juga Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad, LTdL semakin berkembang dan berjaya meniti peringkat tertinggi sehingga menjadi perlumbaan berprestij yang mendapat perhatian pelbagai pasukan serta pelumba profesional ternama dunia.

“Perkembangan pesat LTdL membantu meletakkan nama Malaysia sebagai antara destinasi pelancongan utama dunia. Bukan itu saja, ia turut memberi manfaat kepada daerah, bandar dan pekan yang dilalui LTdL.

“LTdL amat sinonim dengan rakyat Malaysia dan penyertaan semula Sabah serta Sarawak pasti menambah keunikan dan cabaran baharu kepada LTdL 2020,” katanya yang merasmikan sambutan Jubli Perak LTdL 2020 dalam suasana penuh warna warni di Menara Berkembar Petronas, malam ini.

Dr Mahathir juga memuji usaha penganjur, Human Voyage untuk terus mempopularkan sukan berbasikal dengan menganjurkan dua perlumbaan unik sempena edisi ke-25 LTDL iaitu Kriterium Antarabangsa dan perlumbaan Klasik Malaysia.

Kedua-dua kejohanan itu menyerupai perlumbaan klasik sehari yang terkenal dan mendapat sambutan meluas di Eropah.

Beliau juga mengakui peranan dan sumbangan pelbagai penaja terbabit menjayakan LTdL termasuk sokongan dan sumbangan besar Petronas selaku Penaja Acara LTdL 2020.

“Buat pertama kalinya, kita menyaksikan bagaimana pelepasan utama LTdL 2019 berlangsung megah dengan berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas di ibu negara. Terima kasih dan penghargaan kepada semua penaja di atas pelbagai sumbangan dan diharapkan pembabitan yang sama pada masa depan,” kata Tun Dr Mahathir.

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Human Voyage, Datuk Ahmad Mustafa menyeru rakyat Malaysia dari pelbagai lapisan dan latar belakang bersatu memberi sokongan demi menjayakan LTdL 2020 selain menampilkan suasana harmoni serta kepelbagaian dan keunikan negara, sesuai dengan imej dan status baru LTdL.

“Selain saingan getir di atas gelanggang, kami harap dapat pergi lebih jauh untuk menyebar dan menyemarakkan keseronokan LTdL kepada sebanyak mungkin rakyat dan peminat,” katanya.

Dengan status sebagai perlumbaan ProSeries UCI, penganjur optimis menarik penyertaan pasukan ternama dari kelompok WorldTour, Pro Benua dan pasukan benua Asia, Oceania, Eropah dan Amerika yang tersenarai pada kedudukan utama ranking dunia.

Disiarkan pada: November 23, 2019 @ 10:04pm
d