arena

Main teruk janji menang: Klopp

Oleh AFP

JUERGEN Klopp memuji keupayaan pasukannya meraih kemenangan sekalipun tidak berada di tahap terbaik selepas Liverpool sekali lagi menjaringkan gol lewat untuk mengalahkan Crystal Palace 2-1 malam tadi dan mengekalkan kelebihan lapan mata di puncak Liga Perdana Inggeris.

Pendahulu liga itu terhutang budi dengan gol Roberto Firmino pada minit ke-85 di Selhurst Park selepas Wilfried Zaha menyamakan gol pembukaan Sadio Mane pada babak kedua.

Kemenangan itu melebarkan rekod 30 perlawanan liga tanpa kalah buat anak buah Klopp dan mengukuhkan bukti mereka bersedia untuk menamatkan penantian 30 tahun bagi kejuaraan liga Inggeris.

“Meraih keputusan di Crystal Palace, saya tidak memandang remeh,” kata Klopp, pasukannya unggul lapan mata di depan Leicester selepas 13 perlawanan.

“Kami tidak keluar ke sana untuk menunjukkan kami mencipta bola sepak. Kami ada tugas untuk dilakukan untuk meraih keputusan. Kami melakukannya sekali lagi.

“Saya tidak kisah kami tidak cemerlang hari ini. Anda hanya perlu pastikan anda sedia berjuang untuk meraih keputusan dan kami melakukannya sejak minit pertama.

“Bolehkah kami bermain lebih bagus? Ya. Tapi kami ada pemain di padang yang pagi Khamis lalu masih berada dalam penerbangan kembali dari Abu Dhabi (ketika tugasan antarabangsa). Ia tidak bagus.”

Liverpool terlepas khidmat Mohamed Salah, yang berada di bangku simpanan ketika dia bergelut dengan kecederaan buku lali dan kehilangan sengat ketika menyerang pada babak pertama yang didominasi Palace.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 9:59am
d