arena

Tekanan memuncak buat Emery

Oleh AFP

PENGURUS Arsenal, Unai Emery mengakui beliau dan pemainnya terlepas peluang untuk meredakan kemarahan penyokong kelab selepas Gunners seri 2-2 di laman sendiri dengan pasukan kedua tercorot Southampton.

Ia mungkin lebih teruk lagi buat pengendali dari Sepanyol itu dan mujurlah gol penyamaan kedua Alexandre Lacazatte, pada minit keenam masa kecederaan, menafikan Southampton kemenangan pertama di Arsenal sejak 1987.

Anak buah Emery merudum ke tangga ketujuh carta Liga Perdana Inggeris, di bawah Burnley dan hanya satu mata di depan musuh utara London, Tottenham, yang menang di West Ham pada perlawanan pertama Jose Mourinho sebagai pengurus.

Lacazette terdahulu memadamkan gol pembukaan Danny Ings pada minit kesembilan buat Southampton, yang kembali mendahului menerusi James Ward-Prowse selepas sepakan penaltinya pada babak kedua diselamatkan Bernd Leno.

Emery dimaklumkan oleh lembaga kelab sebelum sepak mula jawatannya tidak terjejas selagi keputusan meningkat, namun ia jelas perlawanan yang patut dimenangi Arsenal.

“Kami sedih dan kecewa,” kata Emery. “Saya faham penyokong, kami tidak berhak mendapat lebih hari ini, kami terlepas peluang besar untuk menenangkan penyokong kami.

“Kami ada peluang untuk meraih keyakinan hari ini tapi kami tidak melakukannya. Penyokong membantu kami selama 90 minit tapi kami tidak meraih kemenangan untuk menggembirakan mereka.”

Arsenal kini hanya menang dua daripada 11 perlawanan terakhir liga dan persoalan kekal berapa lama Emery akan diberi peluang untuk mengubah situasi dengan pasukannya ketinggalan lapan mata di belakang pasukan tangga keempat Chelsea.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 12:17pm
d