arena

Dua beregu negara sekadar naib juara

Oleh Ferzalfie Fauzi

PELUANG untuk meraih sekurang-kurangnya satu kejuaraan di Masters Korea lebur apabila dua wakil negara berputih mata apabila tumpas kepada lawan masing-masing di final yang berlangsung di Stadium Universiti Wanita Gwanju, hari ini.

Episod duka bermula apabila beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai tewas 14-21,15-21 di tangan wakil Hong Kong, Tang Chun Man-Tse Ying Suet sekali gus kekalahan keempat berturut-turut mereka kepada pasangan ranking ke-12 itu.

Mereka yang menduduki ranking kelapan dunia beraksi pada final pertama musim ini selepas empat kali terkandas di separuh akhir dan akan meneruskan cabaran negara di Sukan SEA Filipina yang akan bermula secara rasmi Sabtu depan.

Sementara itu, hasrat beregu lelaki profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong untuk meraih kejuaraan kali ketiga, tidak kesampaian.

V Shem-Wee Kiong yang juga pilihan ketujuh kejohanan memberikan aksi terbaik termasuk bangkit dari kekalahan set pertama namun mereka tumpas 19-21, 22-20, 19-21 di tangan Lee Yang-Wang Chi Lin dari Taiwan.

Pemenang pingat perak Sukan Olimpik Rio 2016 itu sebelum ini pernah muncul juara di Masters Thailand dan Terbuka Taiwan. Mereka juga sedang memburu slot terakhir ke Jelajah Dunia Akhir bulan depan dan sekarang ini bersaing sengit dengan rakan senegara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik.

  • Lagi berita berkaitan Sukan SEA Filipina 2019
  • Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 6:54pm
    d