arena

Silva dalam 'bahaya'

Oleh Agensi

PENGURUS Everton, Marco Silva kini sedang bergelut menyelamatkan jawatannya selepas tewas 0-2 kepada Norwich City di tempat sendiri, semalam.

Kekalahan itu menghangatkan suasana di Goodison Park dan difahamkan pemegang saham utama, Farhad Moshiri bertemu pengarah lain termasuk pengerusi, Bill Kenwright dan pengarah bola sepak, Marcel Brands selepas tamat perlawanan.

Pengendali dari Portugal berusia 42 tahun yang bersama Everton sejak Jun 2018 turut dipanggil dalam pertemuan itu.

Bagaimanapun, Moshiri dan Brands lebih berminat mengekalkan kestabilan dan menyokong Silva di sebalik gesaan penyokong Everton yang mahukan dia dipecat sebaik tamat perlawanan menentang Norwich.

Tetapi Silva tahu sokongan dan kesabaran pengurusan ada had dengan perlawanan berikutnya menentang pasukan tangga kedua, Leicester City di tempat lawan hujung minggu depan diikuti kunjungan ke Anfield menentang pendahulu liga, Liverpool memberi peluang kepada Silva meredakan kemarahan penyokong.

Bekas pengurus Everton, David Moyes dan Mark Hughes disebut-sebut calon pilihan mengambil alih tugas tetapi Moshiri dan Brands lebih berminat memberi Silva lebih masa memulihkan prestasi kelab.

Everton kini di tangga ke-15 tidak berbaloi dengan pelaburan besar oleh Moshiri dan mereka tewas kepada tiga kelab baharu liga termasuk di tempat sendiri kepada Sheffield United dan Norwich City.

Disiarkan pada: November 24, 2019 @ 11:45pm
d