arena

McBurnie sekat kebangkitan United

Oleh Reuters

GOL penyamaan Oliver McBurnie pada masa kecederaan membantu Sheffield United seri 3-3 dengan Manchester United di Bramall Lane pada aksi Liga Perdana Inggeris awal pagi tadi selepas pelawat berada di ambang kebangkitan menakjubkan.

Hadir pada perlawanan itu selepas hanya satu kemenangan dalam 10 aksi Liga Perdana di gelanggang lawan, Manchester bermula hambar dan harus berterima kasih kepada penjaga gol David de Gea kerana menyelamatkan mereka pada babak awal.

Mereka bagaimanapun gagal bertahan lama dan John Fleck meledak masuk gol pembukaan pada minit ke-19 selepas De Gea menafikan percubaan John Lundstram.

Tuan rumah tidak dibuai angan-angan sebaliknya mencipta lebih banyak peluang dan menekan lawan mereka pada setiap kesempatan.

Tujuh minit selepas rehat mereka mendahului 2-0 apabila Lys Mousset merembat masuk gol keempatnya musim ini.

United kelihatan tidak bermaya ketika mereka bergelut untuk kembali selepas rehat namun gol pertama pemain berusia 19 tahun Brandon Williams bersama pasukan senior 18 minit sebelum tamat mencetus sekelumit harapan.

Seorang lagi graduan akademi, Mason Greenwood, tampil dari bangku simpanan untuk menyamakan kedudukan lima minit kemudian sebelum Marcus Rashford melengkapkan kebangkitan pada minit ke-79 dengan gol menarik.

Namun pemain gantian McBurnie menafikan pelawat pada masa kecederaan untuk menambah dramatik pertembungan sengit itu, merembat melepasi jangkauan De Gea, dengan gol itu disahkan selepas reviu VAR.

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 7:23am
d