arena

Sepanyol juara Piala Davis nafas baru

Oleh Reuters

PEMAIN tonggak Sepanyol, Rafael Nadal memastikan kejuaraan Piala Davis kali keenam buat negaranya awal pagi tadi apabila mereka mengalahkan Kanada 2-0 di Madrid pada final kejohanan yang diberi nafas baru itu.

Dengan Raja Felipe menonton aksi di La Caja Magica, Nadal yang berusia 33 tahun mengatasi pemain muda Kanada, Denis Shapovalov 6-3, 7-6 (9/7) untuk memberikan Sepanyol kejuaraan pertama sejak 2011.

Jika ada pemain berhak menjulang trofi lama itu sekali lagi ia tentunya Nadal selepas dia bekerja keras sepanjang minggu, sering kali hingga lewat malam untuk memenangi lapan perlawanan.

Namun dia tentunya lebih gembira jika rakan sepasukannya Roberto Bautista Agut memastikan mata kemenangan.

Bautista Agut memberikan tuan rumah permulaan gemilang, mengalahkan Felix Auger-Aliassime 7-6 (7/3), 6-2 selepas kembali ke skuad susulan kematian bapanya.

“Satu minggu yang amat mengagumkan,” kata Nadal, yang kini menang 29 perlawanan perseorangan Piala Davis berturut-turut sejak 2004. “Orang yang paling penting pastinya Roberto Bautista.”

Selepas mengalahkan Auger-Aliassime, Bautista Agut dipeluk kaptennya Sergi Bruguera dan ada suasana penuh emosi di hujung laungan “Campiones” di sekitar arena itu.

“Ia satu hari yang diimpikan dan semua rakan sepasukan melakukan usaha menakjubkan, terutama Rafa, yang hanya tidur pada jam 3, 4 dan 5 pagi dan hari berikutnya keluar untuk bermain,” kata Bautista Agut. “Ia disebabkan kami warga Sepanyol.”

Disiarkan pada: November 25, 2019 @ 11:11am
d